Avatar (2009)
Sekiranya Avatar dinilai sebagai sebuah filem yang berdiri sendiri, ia cemerlang dari banyak sudut. Terutama sudut teknikal : CGI, aksi pertarungan, imaginasi mahklum-makhluk unik dan hutan yang cantik berwarna dan berkilau.
Yang menjadikan sebahagian ulasan Avatar agak kasar apabila ia dikaitkan dengan sebuah filem sebelumnya oleh pengarah yang sama James Cameron. Yang dimaksudkan ilah filem Titanic (1997). Ditulis dan diarahkan oleh James Cameron dan skor muziknya oleh James Horner yang menulis lagu fenomena ‘My Heart Will Go On’.
Titanic vs Avatar
Selama 13 tahun sejak Titanic ditayangkan tahun 1997, rekod sebagai sebuah filem yang paling tinggi kutipan tayangan belum berjaya dipintas mana-mana filem. Paling hampir cuba dipintas oleh oleh LOTR Return of The King dengan jumlah USD 1.129 billion. Masih terlalu jauh dari Titanic USD 1.835 billion. Lagi senarai penuh klik.
Kata Datuk Johan Jaafar, “menonton Titanic memberi rasa nostalgik”.
Dan beban besar ini meletakkan Avatar harapan yang tinggi. Padahal dia filem ini genrenya berbeza. Sama seperti membandingkan Papadom (2009) (klik untuk baca reviu) dan My Spy (2009), kedua-duanya filem arahan Afdlin.
Na'vi
Sinopsis Avatar
Sebuah planet bernama Pandora, dihuni oleh sejenis makhlus seperti manusia diberi nama Na’vi. Konflik bermula apabila manusia datang menceroboh planet ini untuk mendapatkan sejenis batu yang bernilai tinggi.
Saintis bumi mencipta sejenis mesin untuk menyamar menjadi bangsa Na’vi diberi mana avatar. Ia seperti mesin pengganti dari filem Surrogates (2009).
Ulasan
Saya sekadar meringkaskan beberapa ulasan yang saya baca dari pengkritik-pengkritik luar negara.
Dari sudut aksi, cgi, dan teknikal yang lain, adalah tidak adil filem ini tidak dipuji. Sementelahan bajetnya sahaja mencecah USD 300 juta. Tentu sahaja banyak perkara mampu dan boleh di adakan. Antara bahagian yang mengujakan ialah haiwan dan tumbuhan yang berkilau-kilau. Seperti pokok-pokok yang dikalungkan rantaian lampu kelip di sekeliling bandar-bandar di Malaysia. Itulah Pandora. Bermandi cahaya.
Sebahagian dari pengkritik sirna dengan kemilau ini. Sehingga yang kurang dan cela filem ini tidak terlihat.
Saya menemukan beberapa rebiu yang kritis tentang filem ini. Antaranya ;
1. Perkembangan watak. Filem ini ada versi 3D, namun wataknya ‘tidak 3D’. Tidak ada jiwa dan sisi-sisi lain dalam watak. Berbanding Jack (lakonan Decaprio) dalam Titanic yang kaya jiwanya dengan pengalaman marhaenis. Juga Rose (Kate Winslet) yang kaya dan naif menurut kehendak ibunya.
2. Emosi. Kurang emosi. Banyak aksi.
Kritikan sosial
Secara tidak langsung Cameron mengkritik kerakusan manusia untuk mengaut untung. Manusia merebut galian yang terdapat di bawah tapak perkambungan Na’vi. Untuk mendapatkan galian itu mereka sanggup menyerang dan membakar kampung itu.
Bukankan fenomena ini sering kita lihat di negara kita. Tidak sedikit pemaju-pemaju berusaha berbagai cara untuk menghalau penduduk kampung / perumahan semata-mata untuk mendapatkan tanah membina bangunan baru.
My Spy (2009)
Detil dari Sinema Malaysia.
Pada saya My Spy ada 3 penjuru. KRU – Afdlin Shauki – Amir Hafizi.
Ia bukan filem KRU sepenuhnya sama seperti filem Cicakman1 & 2. Juga bukan filem Afdlin sepenuhnya seperti Buli, Buli Balik, Papadom dan Los dan Faun yang Afdlin tulis, terbit, arah, dan lakon sendiri. Skripnya ditulis oleh Amir Hafizi (kalau tak silap menulis novel Susuk).
Justeru tak sama lah makan tomyam di kedai mamak dan makan mee goreng mamak di kedai tom yam. Sebab ada pengulas yang mengomel My Spy tiada elemen keluarga, kasih sayang atau persahabatan seperti filem Afdlin sebelum-sebelum ini.
Ini kes masuk dusun durian mencari buah epal.
Menghiburkan
Apapun My Spy menghiburkan. Lakonan AC, Harun Salim Bachik dan Adlin memang ‘tidak kering gusi’.
Begitu juga Tan Sri lakonan Mamat Khalid dengan slanga Perak nya. Mungkin kerana saya orang Perak maka jenakanya menjadi sangat dekat.
Sekurang-kurangnya lakonan menjadi mereka ini dapat menutup kelemahan-kelemahan struktur yang selalu terjadi dalam filem Melayu. Ya, kita harus beri peluang kepada pembikin filem untuk bertatih perbaiki kualiti.
Pengganti / Surrogates (2009)
Satu isu sinema bahasa asing di Malaysia ialah, terjemahan sarikata yang amat buruk. Teknologi panggung, sistem bunyi dan filem itu sendiri sudah berkembang pesat. Namun sarikatanya masih jauh terkebelakang. Masih menggunakan format tulisan mesin taip dan kualiti terjemahan yang sungguh jelik. Lebih baik sedikit dari sarikata dvd cetak rompak. ‘Hey baby‘ diterjemahkan sebagai ‘hey bayi’ atau ‘You look great’ kepada ‘awak nampak besar’.
Justeru menterjemahkan Surrogates sebagai Pengganti adalah sangat lucu dan tidak munasabah.
X-factor filem ini (pada saya sekurang-kurangnya) ada pada pelakon utamanya Bruce Wilis.
Sinopsis
Ia berkisar kehidupan pada tahun 2017 (3 tahun sebelum wawasan 2020 direalisasikan). Ramai manusia telah memiliki sebuah robot mirip manusia untuk melaksanakan tugas rutin manusia. Ia hanya perlu dikawal dari dalam rumah. Robot ini dinamakan ‘Surrogates’. Robot ini akan ke pasar membeli barang dapur, pergi ke pejabat untuk bekerja dan tujuan-tujuan lain.
Apa yang lebih menarik, kita bebas membeli atau menempah robot mengikut citara dan rupa paras yang kita suka. Menarik bukan. Ia lebih dari sekadar mekap, suntikan botox atau pembedahan plastik. Kini (tahun 2017) manusia boleh memiliki sebuah tubuh idaman yang ‘totally’ berbeza dengan jasad asal manusia. Betapa manusia suka ‘memperbaiki’ ciptaan Tuhan!
Sekali pandang tiada apa-apa yang menarik. Satu lagi filem fiksyen-thriller. Babak kejar-mengejarnya sungguh mendebarkan. Sehingga teman menonton saya genggam tinju. Saya juga hampir kalih punggung dari tempat duduk.
Ulasan saya
1. Simbol dan analogi
Filem ini menyampaikan mesej secara simbolik. Betapa manusia ghairah dengan teknologi mesin. Hampir semua perkara mahu di automatikkan. Kemuncaknya manusia hanya perlu berbaring di bilik, dan biarkan robot / mesin laksanakan semua.
Manusia mungkin tidak akan lenyap lantaran banyaknya mesin dan robot menggantikan fungsi manusia. Namun yang akan hilang ialah peluang pekerjaan. Bukankan sudah ada mesin penoreh getah secara automatik. Juga mesin menjual makanan dan minuman secara automatik. Dan akhirnya apa lagi yang boleh dilakukan oleh manusia untuk terus mencari sesuap nasi.
Namun pada hemat saya, yang paling kita bimbang ialah hilangnya ‘kemanusiaan’. Surrogates dalam filem ini hilang nilai manusia. Berselisih langgar baru tanpa kisah apa-apa. Apabila berlaku kemalangan atau perkara diluar jangka, Surogate hilang rasa.
Banyak simbol dan analogi digunakan terutama untuk menyindir manusia hari ini yang obses dengan mesin.
2. Kesan buruk mesin (baca komputer dan alatan automatik)
Hidup di tengah-tengah mesin adakah sesuatu yang baik dan menyihatkan. Lambakan mesin pada asalnya adalah untuk memudahkan kehidupan manusia.
Namun dari aspek yang lain, apabila sebahagian fungsi kehidupan manusia digantikan oleh mesin, maka manusia akan menjadi objek malas. Tidak lebih dari seperti lembu di kandang dan ayam di reban. Makannya disediankan, kandanganya dibersihkan dan segala urusan lain diuruskan.
Walaupun sebahagin mesin diciptakan untuk meningkatkan kualiti hidup manusia, namun ia separuh benar. Manakan sama mengayuh basikal melewati udara segar dan pokok-poko hijau berbanding kayuhan basikal gim di rumah atau gim.
Lantaran itu, dalam beberapa sudut saya memilih untuk menjadi kuno dan konservatif. Terutama melibatkan kesihatan dan perubatan. Sihat dengan makan sayur segar dan ulama-ulaman saya pilih berbanding ubat dan pil-pil suplemen.
3. (kuasa) jahat versus (kuasa) baik
Kita hidup pada zaman fintah. Zaman yang sukar menentukan siapa baik atau siapa salah secara mutlak. Dalam Surrogate VSI yang mencipta surrogates (untuk tujuan kebaikan manusia) juga akhirnya bersubahat dengan orang jahat yang membunuh surrogates serta terminalnya (baca tuannya) sekali.
Dalam dunia realiti bukankan virus komputer itu ada kaitan rapat dengan bisnes antivirus. Juga gangguan jin dan syaitan itu sangat berkait rapat dengan kewujudan bomoh dan pawang dalam sesuatu kawasan. Di mana ada gula di situ ada semut. Di mana ada bomoh, maka disitu wujud banyak sihir dan gangguan.
Daerah 9 (District 9) – 2009

Foto dari Wikipedia
Ini cerita sai-fai. Jarang saya menonton filem genre begini. Saya tertarik dengan brand Peter Jackson (Lord of The Ring).
Nyata ia tidak mengcewakan. Bahkan memberikan saya beberapa perkara untuk difikirkan.
1. Saya teruja dan kagum dengan naratif mockumentary.
Walaupun ramai juga yang kebosanan seolah-oleh menonton sebuah dokumentari, terutama penonton yang hanya mahu helak-ketawa, air mata dan aksi-gegar-panggung. Namun bagi penonton yang cerdik sedikit, metod begini memuaskan. Sehinggakan saya hampir keliru, adakah ini fantasi semata atau suatu fakta yang benar wujud namun dinafikan oleh pihak tertentu.
2. Tema kemanusiaan sangat ketara dalam filem ini.
Manusia akan bersatu hanya apabila ada musuh yang mengancam manusia secara keseluruhan. Dalam D-9, alien yang tersesat menjadi ancaman. Mungkin ancaman ciptaan, kerana sebenarnya tiada bukti kukuh menunjukkan kehadiran alien dan kapal angkasa mereka datang untuk berperang.
Merujuk sejarah tamadun Islam, dunia Eropah pernah berpecah-belah dengan sistem beraja. Justeru Pope mencipta musuh yakni Islam dan mensasarkan Baitulmaqdis untuk ditawan. Yang kenudiannya ditebus semula oleh Salahuddin Al-Ayubi. Seketika itu dunia Eropah bersatu (En Mohamad Kamal, UPSI).
Di negara kita Melayu meng-kambing-hitam-kan Cina a.k.a DAP untuk bersatu. Bersatu melawan DAP, kata sebahagian orang Melayu. Begitulah seterus-seterusnya.
D-9 diinspirasi dari kes sebenar District Six yang berlaku di Cape Town pada era apartied.
Orang kulit hitam ialah alien yang dimaksudkan.
3. Diskriminasi

Foto : Wikipedia
Mungkin juga D-9 boleh merujuk kepada diskriminasi yang wujud dimana-mana. Diskriminasi orang Amerika terhadap orang Asia. Prejudis orang Barat terhadap orang Islam. Dan mungkin juga pengkelasan masyarakat Malaysia kepada Bumiputra dan non-Bumiputra, sedangkan kedua-duanya punya tanggungjawab yang sama kepada negara, bayar cukai dan taat kepada pemerintah.
Kata Tuhan: Janganlah kerana kebencian kamu terhadap sesuatu kaum menyebabkan kamu tidak berlaku adil. Berbuat adillah, kerana adil itu dekat kepada taqwa.
4. Fantasi alien
Khalayan dan fantasi mansia terhadap makhluk asing (alien) dan teknologi canggih masa depan, masih berlingkar seputar yang dilihat dan didengar oleh manusia.
Makhluk asing yang digambarkan masih sama sejak predator muncul lebih 10 tahun lalu. Belum ada evolusi. Atau belum ada fantasi baru tentang makhluk asing.
Kapal angkasa alien masih sama, bulat dan pipih melayang.
Teknologi alien masih lagi teknologi besi (atau segala bahan dari galian tanah). Belum ada sesiapa yang berani berfantasi teknologi dari udara atau air. Sebagai contoh kapal dan pesawat dibuat dari penyatuan jirim zarah-zarah angin atau air. Macam Goku Dragonball terbang!
Teknologi alien digambarkan jauh terkedepan berbanding manusia, namun mengapa citarasa mereka terhadap fesyen dan paras rupa nampak kuno (inipun saya masih berfikir dalam kerangka manusia berfikir).
5. Manusia vs Alien
Siapa lebih berkuasa dan mampu menjadi lebih ganas dan jahat. Laksana jin dan manusia. Dalam pada jin tidak terlihat oleh manusia, dan jin melihat manusia pun : manusia berusaha menggunakan jin untuk menganiaya manusia lain. Bayangkan, kalau manusia boleh melihat jin, sebaliknya pula pada jin.
Saya suka ceritanya dan caranya bercerita (ala-dokumentari).
Saya tidak suka kepada karakter alien yang tiada inovasi dan kreativiti.