My Spy (2009)
Detil dari Sinema Malaysia.
Pada saya My Spy ada 3 penjuru. KRU – Afdlin Shauki – Amir Hafizi.
Ia bukan filem KRU sepenuhnya sama seperti filem Cicakman1 & 2. Juga bukan filem Afdlin sepenuhnya seperti Buli, Buli Balik, Papadom dan Los dan Faun yang Afdlin tulis, terbit, arah, dan lakon sendiri. Skripnya ditulis oleh Amir Hafizi (kalau tak silap menulis novel Susuk).
Justeru tak sama lah makan tomyam di kedai mamak dan makan mee goreng mamak di kedai tom yam. Sebab ada pengulas yang mengomel My Spy tiada elemen keluarga, kasih sayang atau persahabatan seperti filem Afdlin sebelum-sebelum ini.
Ini kes masuk dusun durian mencari buah epal.
Menghiburkan
Apapun My Spy menghiburkan. Lakonan AC, Harun Salim Bachik dan Adlin memang ‘tidak kering gusi’.
Begitu juga Tan Sri lakonan Mamat Khalid dengan slanga Perak nya. Mungkin kerana saya orang Perak maka jenakanya menjadi sangat dekat.
Sekurang-kurangnya lakonan menjadi mereka ini dapat menutup kelemahan-kelemahan struktur yang selalu terjadi dalam filem Melayu. Ya, kita harus beri peluang kepada pembikin filem untuk bertatih perbaiki kualiti.
Pisau Cukur (2009)

Pisau Cukur belum boleh diiktiraf filem yang sangat baik (walaupun lakokan fazura sangat mengesankan, hingga ada yang memberi gelar ‘award winning actress’). Namun sangat rugi jika kalian tidak tonton Pisau Cukur.
Kisahnya tentang dua wanita cantik jelita mencari cinta.
Saya mula teruja dengan Rafidah (penulis) dan Bernard Chauly (pengarah) melalui Gol dan Gincu. Walaupun karya mereka condong ‘urban’. Ada sesuatu yang lain, warna dan corak yang unik tampil menerusi naskah mereka.
Warna-warni
Ada wanita muda yang cantik. Ada lelaki muda yang kacak. Ada lelaki tua yang beristeri 3. Ada datuk. Ada tran sri. Ada gay. Ada lesbian. Ada Ada macam-macam.
Antara tarikan utama pisau cukur ialah variasi pelakon-pelakon handalan dan ternama.
Di tambah pula, Pisau Cukur menampilkan visual yang cantik dan senang dilihat. Baik berupa wajah menawan pelakon lelaki dan perempuan. Termasuk pelakon-pelakon tua dimekap dengan cantik (Khatijah Tan).
Juga tarikan fesyen dan kostum yang cantik-cantik dan berjenama. Fazura sahaja beberapa kali menyebut ‘oh Gucci‘ dan’Louis Vutton’.
Runut bunyi
Namun dari sudut audio dan runut bunyi, Pisau Cukur tidak berapa sedap didengar. Sungguh lagu-lagu baru yang dimainkan sedap, namun bunyi-bunyi lain yang melatari filem, pada saya kurang tarikan. Yasmin dan Shumi mungkin lebih teliti dan hal ini.
Falasi lelaki kaya
Saya hanya mahu menari perhatian perihal lelaki kaya. Dalam Pisau Cukur, digambarkan Tan Sri dan Datuk adalah ornag yang berharta dan kaya. Ini satu salah tanggapan (falasi) yang jelas.
Bukan cara yang tepat mengukur kaya atau tidak seseorang itu dengar gelarnya sahaja. Tidak sedikit datuk atau tan sri yang terpaksa menggunakan pengaruhnya untuk mengambil wang dengan cara yang salah.
Lakonan Fazura
Apa yang paling menonjol dalam filem ini pada saya ialah lakonan Fazura yang sangat ‘outstanding’. Sepanjang filem berjalan, saya menanti-nantikan kelibat Fazura. Manakala Maya terpaksa berusaha keras untuk menghilangkan bayang-bayang watak serius yang beliau bawa dalam filem terdahulu.
Saya melihat Fazura banyak melakukan ‘homework’ untuk membawa watak gedik. Saya fikir lakonan pelakon fred A Hollywood, Nicole Kidman banyak mempengaruhi Fazura. Mungkin melalui filem Moulin Rouge.
Lembing Awang Pulang ke Dayang (2009)
Sebagai menghormati penat, lelah dan belanja RM 1.6 juta menghasilkan filem, maka saya tidak akan mengomen panjang. Cukup dalam beberapa bairs perkataan ; memualkan dan memalukan industri filem melayu.
Saya kepilkan ulasan lain yang saya fikir lebih adil dan tidak emosional. Saya sokong filem melayu, itu sebab saya beli tiket dan tonton sendiri.
Papadom (2009)

Cerita yang baik lazimnya mengambil inspirasi dari kisah benar. Apabila ia kisah benar, maka naratifnya bergerak sambil berinteraksi dengan penonton. Setiap dialog dan babak yang berlalu mengajak penonton bergulat sama dengan filem.
Papadom merupakan rintihan dan renungan diri pengarah / penulis (Afdlin Shauki) terhadap kerjaya dan keluarganya.
Encik Saadom (altar ego Afdlin) merupakan seorang peniaga gerai makan nasi kandar. Demi meningkatkan taraf hidup keluarganya, Saadom bekerja kuat kembangkan perniagaannya. Hinggakan beliau mengabai tanggungjawabnya sebagai ayah dan suami.
Afdlin menjadikan Papadom sangat dekat dan personal dengan dirinya. Imej-imej keluarga dan adegan bersama Mia sewaktu kecil sangat nostalgik. Seperti album gambar keluarga yang klasik. Filem ini membuat kita pulang ke rumah menyelak semula album gambar kenangan famili masing-masing.
Lantaran sesal dengan sikap acuh tidak acuh terhadap keluarga (yang mengorbankan isterinya), Saadom berubah menjadi ayah yang prihatin dan memberi perhatian terhadap anaknya. Sayangnya sikapnya itu berlarutan sehingga mengongkong setiap pergerakan dan perbuatan anaknya Mia Sara.
Konflik bermula apabila jiwa remaja Mia memberontak untuk belajar hidup berdikari.
Komen saya pula begini
1. Afdlin masih seorang dari pengarah kegemaran saya.
2. Humor Afdlin masih gila-gila. Terutama idea boria pada permulaan dan penutup filem. Ala Broadway. Juga bayang-bayang isteri Saadom yang mengekorinya dengan imej dan pakain yang variasi. Ia kelakar yang natural. Hanya saja filem ini agak ‘mello’ berbanding filem Afdlin yang lain. Mungkin pengarah cuba menyesuaikan dengan tema keluarga.
3. Naratif filem ini agak simple berbanding filem Afdlin sebelum-sebelum ini seperti Baik Punya Cilok atau Los dan Faun. Mungkin kerana temanya juga berbeza. Kali ini Afdlin cuba menyampaikan ‘rasa’. Namun masih dalam kategori ‘brillian’. Watak, konflik dan humor dijalin dengan kemas dan rapi.
4. Babak lelaki menangis merupakan ‘mood spoiler’. Itu sebab filem-filem Hindi (walaupun heronya macho dan handal bertumbuk) kurang diminati orang lelaki. Airmata adalah pencabar kejantanan. Pantang anak lelaki menitiskan airmata. Airmata lelaki hanya halal berlaku pada titik akhir pergolakan. Bukan kerana putus cinta, juga bukan kerana kematian. Airmata Saadom saya rasa sangat original ketika babak bersama Mia dalam kabin tukang kebun. Saya yakin benar itu adalah air mata ikhlas Afdlin mengenangkan realiti kehidupan beliau. Dan raut wajah itu saya lihat pertama kalinya pada wajah ayah saya.
‘Moral of the story’
Mesej positif dalam filem Papadom sangat kuat.
1. Filem ini mengkritik skil ‘parenting’ yang silap. Saadom percaya, wang mampu melengkapkan kebahagiaan rumah tangganya. Hakikatnya wang bukanlah segalanya, sebaliknya wang hanya sebahagian dari segalanya. Tidak sedikit ibu bapa percaya, dengan menyediakan material yang banyak itu sudah memadai untuk anak-anak tumbuh dan membesar dengan baik. Manakala dari kelompok yang lain pula, ramai juga ibu bapa yang tidak berusaha dengan sungguh-sungguh dan terbaik untuk menyediakan material dan prasarana yang cukup untuk keluarga.
2. Sayang anak tangan-tangankan. Ramai ibu bapa yang lupa akan nasihat ini. Niat yang betul perlu disusuli dengan cara yang betul juga. Saadom sayangkan Mia dengan cara yang tidak tepat. Setiap inci pergerakan Mia diintip. Dan akhirnya jiwa remaja Mia berontak. Saadom cuba menjadi ayah yang ‘protective’ sehinggakan jurulatih silat Mia dibelasah kerana menyakiti Mia.
Hari ini tidak sedikit dari guru-guru disaman dan diserang kerana bertindak atas kesalahan pelajar. Natijahnya pelajar semakin kurang hormat dan takut dengan guru dan selesa melakukan kesalahan tanpa dikenakan hukuman.
Jin Notti (2009)
Jin Notti sebuah filem komedi yang dibikin dengan serius. Ia bukan kerja main-main. Meleburkan (labur) sekian juta ringgit. Membayar pelakon yang mahal dan ternama ; Mawi, Farah Fauzana, Aziz M Osman, Nabil Raja Lawak dan Adibah Noor.
Nama unik dan signifikan
- Notti binti Nesti
- Sofiah Jin (Adibah Nor)
- Jin Samsu meminjam sebahagian Jins Samsuddin
- Jinbara (Cat Farish)
- VT Linggam, juri ‘correct, correct, correct’. (Teringat kisah VK Linggam. Macammana LPF boleh lepas babak ini)
- Jin Tan
Beberapa kekurangan
Namun ia tidak mencacatkan. Pada mulanya saya agak skeptikal dengan buah tangan Kru ini. Di tambah pula dengan rebiu yang sangat tidak membantu.
Babak berumbuk masih lemah.
Begitu juga lakonan Fara dan Mawi masih sangat amatur.
Namun secara umum saya sangat berpuas hati dengan karya terbitan Kru kali ini. Syabas dan tahniah. Bukan sekadar berjaya menarik lebih satu juta penonton masuk panggung.
Apa yang saya suka
1. Mesej moral yang disampaikan secara terbalik ‘reverse psychology’. Ia tampak seperti ala-khutbah, namun menjadi lucu disampaikan secara terbalik. Kempen untuk menjadikan Notti jin yang jahat melalui banyak halangan. Akhirnya kaum jin gagal. Begitu juga manusia, kempen menjadikan manusia baik sangat mencabar.
2. Sindiran-sindiran tajam terhadap isu semasa. Ini menjadikan filem ini hidup dan terputus dari dunia realiti. Ada hakim ‘correct3x). Ada mahkamah. Ada rasuah.
3. Transformasi 4 watak Farah Fauzana (Notti binti Nesti) dari watak punk yang serabai hingga ke gadis pemegang payung pink yang cantik. Kalau tak cantik tak bolehkah? Namun tidaklah seketara pelakon yang memakai pemerah pipi ketika menoreh getah atau memakai bulu mata dalam penjara.
4. Sisi lembut watak-watak jahat. Adalah tidak adil watak jahat dalam filem dihitamkan seluruhnya. Dalam Jin Notti setiap watak jahat, tetap punya sifat baik. Dan melalui sifat baik inilah, watak jahat menemui jalan kembali. Pada akhirnya semua watak jahat insaf dan kembali ke jalan yang benar. Moralnya, walau sejahat mana manusia itu, tetap ada jalan untuk berubah. Hanya yang tinggal kemahuan.
Jalinan cerita yang menarik
Notti menjelma dalam 4 manusia yang berbeza. Misinya untuk mendorong manusia buat jahat (janji Iblis memang untuk menyesatkan manusia selamanya). Walaupun 4 watak, namun semuanya kait dan mengait.
Nampak mudah, namun saya percaya skrip ini ditulis dengan hati-hati dan teliti. Dari sudut jalan cerita Jin Notti sebuah naskah yang bijak sebaris Gubra (Yasmin Ahmad) dan Cinta(Kabir Bhatia).
Bahkan lebih maju dari sudut kompleksitinya ; pada pertukaran watak asal dan jelmaan Notti dan ‘twist’ pada penamat setiap babak. Ini mengingatkan saya kepada sebuah filem German ‘Run Lola Run‘ dan sebuah filem Sepanyol ‘To Die or Not‘.
![]()

Gadoh (2009)
Pengarah : Namron dan Brenda Nanker
Gadoh ialah cerita budak-budak sekolah yang bergaduh. Ketika cikgu-cukgu mereka bergaduh dalam mesyuarat untuk membincangkan masalah ini, seorang guru mencadangkan ditubuhkan kelab teater bagi pelajar-pelajar yang bergaduh ini.
Sekurang-kurangnya, penulis filem ini punya 3 mesej tersirat yang ingin disampaikan.
Pertama : Kritikan terhadap guru, sekolah dan sistem pendidikan.
Dalam filem ini ada watak beberapa orang guru yang berlainan karakter, pengetua yang ‘cenge’ dan pegawai dari kementerian.
Sekolah, seperti yang dikritik dalam filem ini, kurang memberi perhatian kepada kehendak dan keperluan pelajar. Ini termasuk sikap sebahagian guru-guru. Keperluan yang paling besar terabai ialah mereka tidak mendengar keluhan dan isi hati pelajar. Ini termasuk guru, pengetua dan pembuat dasar dalam sistem pendidikan. Sekolah hanya menjadi tempat ‘menyuap’ apa-apa sahaja yang disediakan oleh sistem.
Ini kritikan yang sebahagian nya benar. Dan sangat tegas dan pedas untuk golongan pendidikan dan pembuat dasar.
Kedua : Persoalan prejudis kaum
Pergaduhan dalam sekolah ini melibatkan kumpulan pelajar dari kaum yang berbeza. Pelajar Melayu diketuai oleh Khalil (lakonan Zahiril Adzim) dan pelajat China yang dikepalai oleh Heng (Nicholas Davis). Prejudis perkauman menurut filem ini bermula dari rumah (ibu bapa) dan disemarakkan di sekolah.
“China penipu” dan “Melayu malas” merupakan dua ungkapan membayangkan prasangka. Padahal ia sangat asyik dan selalu diungkapkan. Mitos-mitos negatif yang merujuk kepada ras dan kaum ini dimulakan oleh pihak kolonial demi dasar pecah dan perintah. ini ditegaskan oleh seorang sarjana besar Melayu Prof Dr Syed Hussein Alatas. Beliau menulis sebuahh buku khusus bertajuk “Mitos Peribumi Malas”. Sebuah kajian ilmiah berkenaan ‘malas’ orang Melayu, Jawa dan Filipina. Kesimpulan yang dibuat ialah, dakwaan Peribumi malas adalah dusta dan rekaan semata-mata. ‘Malas’ tidak merujuk kepada mana-mana kelompok, sebaliknya bergantung kepada individi itu sendiri tidak mengira ras dan keturunan.
Ketiga : Seni dan budaya melalui perlambangan teater.
Ini filem bikinan orang teater. Namron mengangkat teater sebagai elemen yang boleh menyatu-padukan bangsa. ini idelogi orang budaya dan seni. Teater bukan sekadar alat bersantai dan berhibur. Ia juga boleh menjadi alat untuk menyebarkan propaganda, medium menyampaikan mesej dan alat perpaduan.
Ulasan saya
1. Saya senang sekali dan suka dengan dialog yang diucap. Walaupun berbunyi sangat kasar dan tentu sahaja akan ada banyak pihak yang pertikai dan krtitik. Lafaz dialog seperti “China babi”, “Melayu hendak semua percuma”, “China masuk neraka”, “melayu pemalas” menjadi luahan yang selama ini terpendam. Melalui dialog sebegini, orang melayu boleh mendengar yang dikatakan oleh orang China tentang diri mereka, sebaliknya juga begitu.
2. Walaupun pada awal filem ini begitu banyak babak dan elemen negatif, namun sebelum filem ini berakhir sebahagian besar babak dan watak diberi justifikasi dengan meyakinkan. Yang nakal sedar dan jadi baik. Yang bergaduh kemudian berdamai. Hanya pada watak sekolah dan sistem pendidikan, ia berakhir tegantung.
3. Bukan karya yang terbaik, namun masih lebih baik dari kebanyakan filem-filem Melayu. Ceritanya ada. Pengajaran moralnya agak kuat juga.
Terimas kasih komas, kerana tayangan percuma di Fak Pendidikan Univ Malaya. Juga ruang komentar dan soal-jawab yang sangat mewah.
Setem (2009)
Filem-filem Kabir Bhatia tidak pernah mengecewakan. Beliau antara segelintir pengarah tempatan yang selalu berusaha ‘menyampaikan sesuatu’ melalui skrin layar. Walaupun tidak semua karyanya ‘meletup’, beliau terus mengorak langkah memberikan buah tangan yang segar, lain dari lain dan ‘berisi’.
Bermula dengan Cinta, kemudian Sepi yang agak dingin, dan kini filem aksi komedi Setem.
Separuh panggung dewan 2 GSC Midvalley berisi. Kebanyakannya orang muda, mungkin pelajar Univ Malaya. Sepanjang perjalanan cerita, audien sangat responsif dengan aksi dan jenaka dari filem. Walaupun saya agak selektif untuk membazirkan ketawa saya.
Ceritanya
Selain Aruah Yasmin Ahmad, hanya Kabir Bhatia sahaja yang saya nampak berusaha dan berupaya untuk menyampaikan banyak cerita dalam satu-satu masa. Yasmin dengan ceria-cerita dalam Gubranya manakala Kabir Bhatia sejak dari Cinta lagi sudah memasukkan banyak cerita dalam satu filem. Dan dengan bijaknya kesemua cerita itu bertemu pada akhir.
Saya suka apabila cerita dalam filem ini diputar (twist) banyak kali. Dan akhir babak jahat dan watak negatif diberi justifikasi dengan baik dan jelas. Kesemua orang jahat dalam filem ini akhirnya sedar dan perbaiki keadaan. Setem tidak jadi dicuri, walaupun ada kesempatan.
Inilah sepatutnya fungsi filem. Hiburan santai, namun dalam pada masa yang sama menyelit nasihat dan pedoman. Bukan membiarkan audien ‘pandai-pandai sendiri’.
Watak dan pelakon
Setem dibarisi pelakon handalan. Afdlin dan Vanidah pernah memenagi Aktor Terbaik. Hanya saja gandingan Afdlin bersama Rashidi (seperti diulas pengkritik lain) nampak kurang serasi.
Manakal secara teknikalnya, Setem cemerlang. Sudut kamera dan runut bunyi saya suka. Kalau ada pun yang perlu diperbaiki ialah keserasian pelakon.
Filem @ Drama seram
Cerita seram wujud dalam masyarakat turun-temurun. Bukan sahaja dalam masyarakat Melayu, sebaliknya semua bangsa dan masyarakat punya kisah-kisah seram tersendiri.
Orang Melayu ada pontianak, pocong dan toyol (menyebut beberapa sahaja). Orang China ada hantu lompat. Orang barat ada drakula dan vampire. Begitu juga tamadun dan bangsa lain.
Al-Qur’an dan cerita hantu
Menurut Al-Quran dan hadits nabi, hantu ialah jin dan syaitan. Keduanya diciptakan dari api. Jin dan syaitan diberi kelebihan oleh Allah untuk menyamar menjadi makhluk-makhluk lain. Dan syaitan seperti yang disebutkan dalam agama, suka (selalu) menyamar menjadi anjing dan ular.
Al-Qur’an sangat terbuka dalam menyampaikan kisah-kisah dan cerita-cerita. Dalam Al-Quran ada cerita pembunuhan seperti pembunuhan dua anak Adam (sumber Israiliyat menyatakan namanya Habil dan Qabil). Qur’an juga memuat kisah homoseksual (kaum Nabi Luth). Qur’an merakam berbagai gejolak jenayah dan kemungkaran manusia.
Begitu juga Al-Quran bercerita tentang jin, syaitan dan sihir. Sebahagian sarjana Islam mengambil faedah dari hal ini menyatakan Islam tidak menolak sebarang bentuk cerita yang ingin disampaikan.
Jika begitu apa yang membezakan cerita @ filem @ drama yang menepati kehendak syara’ dengan filem-filem banyak dipasaran.
Benar Qur’an terbuka dalam tema cerita. Namun tertutup dalam teknik menyampaikan cerita.
Sebagai contoh kisah Nabi Yusuf yang digoda oleh isteri Perdana Menteri Mesir (sumber Israiliyat menamakannya Zulaikha). Dalam surah Yusuf adegan godaan itu dicerita dengan memberi simbol sahaja. Catatan tentang teknik bercerita gaya surah Yusuf di sini.
Justeru apa masalahnya dengan filem-filem seram Melayu
Filem @ drama Melayu tidak memberi justifikasi yang tegas dan benar tentang hakikat hantu @ jin @ syaitan.
Belum ada bukti saintifik mengatakan hantu boleh mengapa-apakan manusia. Islam dari awal lagi menegaskan bahawa jin dan syaitan tidak boleh memudaratkan manusi tanpa izin dari Allah.
Cerita Melayu tidak melakukan itu. Hantu diberi gambaran memiliki kekuatan dan kuasa untuk memudaratkan manusia. Sehingga perlu dipanggil bomoh dan pawang.
Saya tidak mahu menafikan realiti akan wujud dan bencana yang dibawa oleh hantu a.k.a jin syaitan ini. Bahkan Qur’an sendiri menegaskan sumpah iblis untuk menyesatkan anam Adam.
Persoalan saya hanya berkait justifikasi.
Jangan Pandang Belakang Congkak (2009)
Saya bukan peminat filem genre seram. Sumpah saya tidak akan masuk panggung untuk hanya filem-filem seram. Walaupun keputusan ini menyalahi pendapat peminat filem-filem seram. Saya masuk panggung untuk filem ini juga bukan kerana dia masuk kategori filem komedi. Apa yang boleh diharapkan dari produk Metrowealth dan arahan Ahmad Idham. Mereka buat kerja dengan baik dan sungguh-sungguh (mungkin), hanya saja itu bukan kecenderungan saya.
Satu-satu yang memancing untuk saya beli tiket adalah kerana judulnya. J
udulnya sahaja yang menggeletek hati saya. Satunya, kerana ia menggabungkan dua judul filem yang laris. Kedua, kerana judul ini membawa makna yang sangat misterius. Seolah-olah ada rahsia besar disebalik congkak itu.
Hasilnya saya dicemuh oleh teman yang menonton bersama saya.
Saya sedaya upaya berusaha untuk optimis pada pembikin filem. Walaupun banyak juga filem-filem Idham dan Metrowealth saya tidak minat, namun kali ini saya cuba untuk beri peluang kepada diri sendiri untuk menikmati hidangan mereka kali ini. Ternyata saya kecewa. Sangat kecewa.
Saya menanti-nantikan buah tangan terbaru Mamat Khalid, Hantu Kak Limah Balik Rumah. Judulnya sahaja sudah buat saya tidak sabar hendak terjah pintu panggung.
TALEnTIME ii (2009)
Saya menonton filem bukan kerana cerita. Biarpun orang lain menonton kerana jalan cerita. Itu sebab sebelum saya beli tiket untuk menonton, saya akan buat sedikit bacaan latar belakang filem. Siapa pengarah, apa temanya (what its all about), pelakon dan rumah produksi.
Antara nama-nama pengarah yang 99peratus pasti menarik saya ke panggung tak kira apa juga buah tangannya. Saya percayakan mereka, Shuhaimi Baba, Afdlin Shauki, Mamat Khalid dan Yasmin Ahmad. Selain dari mereka saya masih perlu buat bacaan lanjut.
Filem yang baik punya daya tarikan untuk ditonton berkali-kali. Sebagai contoh filem-filem P Ramlee. Saya kaki wayang. Punbegitu setakat ini hanya ada 2 filem yang berjaya tarik saya ke panggung dua kali. Pertama Pontianak Harum Sundal Malam II. Keduanya, Talentime. Untuk kali kedua, saya mendesak sahabat saya tonton sekali, hingga saya terpaksa sogokkanya dengan tiket percuma dan pop corn. Bahkan saya masih merancang untuk tonton buat kali ke-3.
Kali pertama saya tonton, kepuasannya agak kurang. Kerana fokus penonton ialah pada jalan cerita. Apa yang akan berlaku seterusnya? Mengapa, bil dan bagaimana? Penonton perlu mancari jawapan bagi setiap persoalan yang dilontarkan pengarah. Justeru itu fokus agak kurang.
Itulah sebabnya tontonan kali kedua diperlukan. Sebuah filem yang besar dan punya lapis-lapis falsafah yang tinggi sangat perlu ditonton berkali-kali. Ini kerana filem dibikin mengambil masa bertahun-tahun disumbat dalam masa 2 jam. Manakan mungkin kita mampu menghadam makna dan intisari yang diproses selama bertahun-tahun hanya dalam masa dua jam.
Talentime sebuah filem cinta yang sangat cantik. Saya lebih puas dan tenang menikmati tontonan kali kedua, walaupun sahabat saya bukan teman menonton yang baik. Soalan-soalan seperti adakah Azean Irdawati sudah sembuh dari penyakitnya, atau mengapa Jit Murat kelihatan sangat tua dalam filem, pada saya adalah soalan yang tidak perlu.
Talentime ialah sebuah filem cinta dan kasih sayang. Saya membawa sahabat dan kawan yang saya sayang untuk tonton filem ini. Melodi pilihan Yasmin sangat segar dan indah.